MASIH BANYAK RUMAH KEDIAMAN DI PERLUKAN

Malaysia perlu 3.2 juta rumah

PEMANDANGAN salah sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala 2
PEMANDANGAN salah sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur. – GAMBAR HIASAN.

KUALA LUMPUR 4 April – Persatuan Pemaju Harta­nah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berpendapat Malaysia mengalami kekurangan hartanah mampu milik sebanyak 3.2 juta rumah bagi menampung keperluan populasi rakyat yang mencecah 33 juta pada 2018.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, data perangkaan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (NAPIC) menunjukkan populasi rakyat Malaysia yang kini mencecah 33 juta pada 2018 dan jika secara purata seunit rumah didiami oleh empat orang, ia memerlukan sekurang-kurangnya 8.2 juta rumah.

Katanya, melihat ke­pada si­tuasi sekarang, jumlah rumah mampu milik setakat ini adalah lima juta sahaja yang mana sebanyak empat juta dibina oleh pemaju swasta dan selebihnya oleh kerajaan.

“Oleh itu, kita masih kekura­ngan lebih kurang tiga juta untuk menampung keperluan hartanah mampu milik ini,” katanya dalam sidang akhbar Kaji Selidik Pasaran Hartanah 2017 dan Prospek Hartanah 2017 di sini hari ini.

Dalam pada itu, REHDA kata­nya, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meminta pemaju menghentikan pembinaan projek hartanah komersial yang kini berdepan masalah lebihan bekalan.

Beliau berkata, bagaimanapun, apa yang boleh dilakukan badan tersebut ialah meminta para pemaju supaya membuat kajian mendalam sebelum membuat sebarang pembinaan.

Katanya, ini kerana pemaju juga mempunyai komitmen pinjaman yang perlu dibayar kepada bank dan jika mereka tidak fokus dalam pembinaan segmen tersebut, ia akan menyebabkan pemaju berdepan pelbagai masalah.

“Ya, saya setuju dengan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang kita berdepan lebihan bekalan yang serius. Tetapi rumah kedai dan kedai pejabat (shop office) masih lagi mendapat permintaan.

Minggu lalu, BNM dalam Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian­ Kestabilan Kewangan Pada 2017 menunjukkan risiko dalam segmen tersebut masih tinggi dengan jangkaan 3.53 juta meter persegi ruang pejabat baharu akan memasuki pasaran dengan 140 buah kompleks beli-belah baharu dibina di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor menjelang 2021.

Keadaan tersebut akan menjadikan kadar kekoso­ngan bagi ruang pejabat mencapai paras tertinggi sehingga 32 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi, malah melebihi paras dicatatkan ketika Malaysia berdepan krisis kewangan Asia iaitu 5.1 peratus pada 1997 dan 25.3 peratus (2001).

Berdasarkan laporan kaji selidik yang dibentangkan REHDA, ia mendapati sebanyak 128 rumah kedai dilancarkan tahun lalu berharga RM2.5 juta keatas de­ngan kebanyakannya di Johor (Ulu Tiram, Johor Bahru dan Pasir Gudang) manakala 16 kedai pejabat pula tertumpu di Shah Alam, Selangor.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/malaysia-perlu-3-2-juta-rumah-1.641876#ixzz5BrAGirDx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
Close