Permintaan Rumah di kawasan TOD 2018

Permintaan tinggi rumah mampu milik di TOD

 4

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Rumah mampu milik di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pembangunan bersebelahan transit (TAD) akan terus mendapat permintaan pada 2018 ke­rana ia merupakan sub segmen yang baik dalam pasaran harta­nah secara keseluruhan.

Pensyarah Ekonomi Sunway University Business School, Dr. Yeah Kim Leng berkata, purata pendapatan median isi rumah dijangka bertambah baik seiring de­ngan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan beberapa langkah serta insentif yang dicadangkan dalam Bajet 2018.

Dari segi sejarah katanya, pe­ningkatan pendapatan median secara langsung membawa kepada peningkatan dalam jum­lah jual beli rumah.

“Permintaan jangka panjang akan terus kukuh untuk pembeli hartanah yang membeli untuk kegunaan sendiri atau pelaburan jangka panjang.

“Industri hartanah dalam tempoh masa terdekat dijangka menjadi baik disokong oleh demografi muda, penduduk yang semakin meningkat dan kadar pengangguran yang rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Persatuan Pemaju Harta­nah dan Perumahan Malaysia (Rehda) optimis terhadap prospek sektor hartanah Malaysia bagi separuh pertama 2018 seiring dengan peningkatan ke­adaan ekonomi negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, prospek positif itu juga didorong oleh unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh sebagaimana dinyatakan oleh pihak seperti Bank Negara Malaysia dan pakar-pakar ekonomi.

Malah katanya, tinjauan yang turut dilakukan menunjukkan bagi segmen kuasa pembeli pengguna, 17 peratus responden menyuarakan rasa optimis terhadap prospek segmen itu pada separuh pertama 2018 berbanding sembilan peratus bagi separuh kedua 2017.

“Sebanyak 26 peratus responden optimis terhadap prospek segmen hartanah bagi separuh pertama 2018 berbanding lapan peratus untuk separuh ke­dua 2017.

“Bagi melonjakkan jualan, para pemaju telah bertindak melaksanakan pelbagai langkah seperti membantu pembeli menerusi bayaran pendahuluan pertama sebanyak 10 peratus, menyemak semula harga jualan serta mempertingkatkan ino­vasi dan kreativiti produk yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Uru­san Mah Sings Group, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pelaburan aset hartanah dijang­ka kekal relevan dan paling selamat berikutan lin­dung nilai yang baik terhadap inflasi.

Secara am, jelas beliau, pasaran hartanah di Malaysia masih berada pada fasa pembetulan, ia terbukti dengan penurunan garisan trend yang stabil.

“Kami merancang dengan teliti terhadap setiap pelancaran projek baharu untuk memastikan setiap projek mempunyai tarikan sendiri dengan harga yang berpatutan di bawah RM500,000.

“Ini adalah sejajar dengan permintaan pasaran dan objektif luas kerajaan untuk membolehkan semua orang memiliki rumah,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/permintaan-tinggi-rumah-mampu-milik-di-tod-1.576702#ixzz51uVjsy5H
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
Close