MyDeposit

Masalah akses laman MyDeposit ditangani segera

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Kerajaan akan memastikan masalah yang dialami rakyat dalam mengakses laman sesawang Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) dapat ditangani dengan segera bagi membolehkan rakyat memiliki rumah idaman masing-masing.

NOH OMAR
NOH OMAR

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, permohonan baharu bagi tahun 2018 yang dibuka pada 15 Disember lalu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan sehinggakan trafik terlalu tinggi menyebabkan laman sesawang skim itu sukar untuk diakses.

“Ini satu masalah yang kita kenal pasti kerana terlalu ramai yang cuba mengakses laman sesawang Skim MyDeposit jadi isu ini akan dilihat dan ditangani dengan segera.

“Para pemohon masih ada masa memandangkan Skim MyDeposit dibuka sehingga 15 Februari hadapan malah kita akan memilih permohonan yang memenuhi kriteria jadi diharapkan para pemohon dapat bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan sebuah pe­ngangkutan awam khas iaitu WUF9 Train dan kempen Mobiliti Bandar yang Mampan sempena Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Kesejahteraan Bandar), Zamri Salleh dan Ketua Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim.

WUF9 Train merupakan salah satu inisiatif KPKT dalam mempromosikan WUF9 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 7 hingga 13 Februari depan.

Tambah Noh, beliau berharap rakyat Malaysia dapat menggunakan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang mempunyai sistem pengangkutan yang holistik, bersepadu dan kurang mengeluarkan karbon.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/masalah-akses-laman-mydeposit-ditangani-segera-1.575459#ixzz51mXzYlud
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
Close